BACKGROUND

Thursday, February 7, 2019

Sakti Yang Begitu Magis Sekali

Bagai magis yang cuma mampir dalam sinetron beratus episod.
Pamit dengan seribu satu kepuasan kerana ia berakhir jua.
Itulah kesaktian Dimatamu.

Begitulah metafora untuk aku nukilkan buat nyanyian penuh jiwa dari Sufian Suhaimi dan Zamani Ibrahim.
Dua laki-laki.
Kepatahan hati.
Dua suara.
Melaungkan rasa

Dan dua nyanyian berbeza.
Tapi rasanya--
Sama.

Belakangan ini, aku dihantui benar dengan lagu melankolia Dimatamu.
Sebenarnya dari hari satu mendengar dan menonton nyanyian dan video asal Dimatamu, lagu itu terus kekal dan tak menginjak pergi dalam akal kepala.
Ia berumah dan diam disitu.

Susunan muzik.
Dan liriknya.

Sempurna !

Setahun ia sendiri elok dalam kepala.
Dan di tiba-tiba roh lagu ini membugar semula melalui nyanyian Zamani di GV dan berterusan kepada Sufian sendiri dalam AJL baru-baru ini.
Ikhlas dan layunya perasaan yang disenandungkan dengan begitu mendayu.

Aku jarang membedah lagu, selepas kelibut mendulukan anak-anak naga dalam urusan masa depan mereka.
Dan rancaknya aku membelakangkan segala urusan yang dirasakan tidak perlu ini, berjeda dengan sendirinya saat pertama kali menonton dan melihat persembahan Zamani dalam GV yang membawakan lagu dimatamu dengan emosi yang sangat-sangat berat.
Terpaku aku sekejap.
Dalam seminggu dua juga.
Tak jemu aku mengulang dengar nyanyian hati Zamani.
Entah.
Aku bukan orang muzik yang faham segala benda tentang nyanyian.
Apatah lagi handal bermain dengan apa-apa instrumen.
Aku tidak pernah belajar cara untuk mendalami suara orang, juga tidaklah mengetahui kesemua helaian sejarah hidup seorang lelaki bernama Zamani Ibrahim.

Tapi persembahan seorang dia di atas pentas, dengan kudrat yang jelas bengkok tegaknya, wajah yang bergaris kedut halus dan tidak lagi muda, benar-benar membenih satu rasa yang tak terucapkan.

Kesedihan yang seolah-olah dilagulepaskan dalam nyanyian.
Dan tertusuk tepat ke dalam hati-hati seorang penyedih seperti aku, kali.

Kudos perlu kita kasikan kepada pencipta lagu dan lirik ini (Rinkarnaen & Sirkhan), yang sebenarnya orang terkuat dan pemula fenomena, menelesuri emosi sakit dengan begitu seni sekali.

Dan hampir tiga hari berlalu selepas kemenangan Sufian dengan Dimatamu yang masih dicakap orang.
Tentang betapa sebaknya mata-mata yang melihat seorang lelaki cengkung berdendang dengan kesayuan yang maha tinggi.
Pelaminan cantik yang didiam dia seorang tanpa belahan hati disebelahnya, pada penghujung nyanyiannya diberitakan sebagai manifestasi tentang betapa terlukanya dia.

Tapi sebagai pelagu profesional dan mencari sesuap nasi melalui nyanyian, jawapan selamat dan matang adalah bunyi yang dibahasakan oleh kedua-dua lelaki kepatahan ini, pada saat diasak dengan soalan-soalan liar dan padu daripada wartawan dan netizen.

Kelompok masyarakat yang mengikuti perkembangan seni tanah air pasti mengetahui kisah yang membuatkan kedua-dua laki-laki ini runtuh di salah satu fasa dalam hidup mereka.
Dan tak perlulah untuk aku memperinci tiap satunya, menyebut dan menulis nama-nama yang telah memberi luka, kerana aku juga tidak pernah mendengar dengan jelas tiap satunya akan bukti kepada kesahihan semua cerita.

__

Tapi betapa benar.
Rahmat Tuhan kan selalu ada.

Dikasi duga dan durja.
Bertahun lama, bahkan jika diperhati dengan sejelas-jelasnya, bagaikan bakal menjadi selama-lamanya, dia ingin terus bersendiri--
Namun rezeki Allah hulurkan tak berhenti.
Diangkat kembali menjadi seseorang Zamani yang disegani.
Rancak semula perjalanannya sebagai anak seni.
Moga juga berakhir dengan yang paling baik di mata kami, terutama di sisi Rabbi Izzati.

Bersekali dengan ilmu yang menjadi kelebihan dan bekalan.
Semoga mampu digunakan hingga membenihkan keindahan masa depan.
Dan ditemukan dengan yang benar-benar sepadan.
Moga pada masa itu jua, segala derita yang dipicis orang, tak lagi menjadi beban.
Jalan terus ke depan Sufian !

__

Aku selalu berpegang dan percaya dengan sebaris kata Fynn Jamal, yang akan selalu segar dalam telinga kepala.

'Apalah erti cinta, jika tak ada yang reti menjaga'

Dan boleh jadi, itulah hakikat yang perlu didepani dan dilalui oleh dua orang laki-laki ini.
Tak dihendak orang, kerana memikul banyaknya kurang.
__

Entah betapa payah jalan yang hendak dilalui oleh orang-orang yang diberi harap, digantung rasa, dan kemudian ditinggalkan begitu sahaja dengan doa dan ucap, semoga kita semua akan sama-sama berbahagia dengan cara kita, nantinya.

Perasaan adalah perkara halus yang paling boleh menggoncangkan kehidupan manusia.

Sedarkah kita tentang hakikat itu ?
:')

__

Didoakan semoga dua laki-laki kepatahan hati ini akan bertemu dengan bahagia yang abadi, di satu hari termanis, nanti.


A Broken Heart Create A Masterpiece
[ Sufian Suhaimi : 2018 ]

Dan Dimatamu adalah--
Sakti yang begitu magis sekali !





No comments:

Post a Comment