Telah Tuhan takdirkan jauh di lauh mahfuz akan tempoh berbaki buat aku menyusun kenangan-kenangan terakhir buat seisi yang bakal ditinggalkan.
Dan pada detik mata bertamu dengan gabungan aksara yang membentuk perkataan keramat itu, serasanya bagai pepasir yang berguguran jatuh dari celahan jari, setiap harapan yang aku anyamkan untuk sebuah perkasihan panjang di daerah pergunungan naga, di tahun mendatang.
Runtuh.
Ia adalah perkataan tertepat untuk mendefinisi makna hati, pada saat itu.
Kerana entah bagaimana mampu aku menjalani tiga hari tersuntuk dalam hidup atas sebuah keputusan yang paling tak mampu diproses akal sihat.
Namun benarlah, keajaiban dari Yang Maha Rahim adalah sebuah rancangan yang jauh lebih hebat.
Alhamdulillah, Ya Rahman.
:')
Dan untuk sekalian kekasih yang aku tinggalkan--
Tulisan ini untuk kamu.
Biar dinding bisu ini menjadi saksi satu-satunya akan setiap rasa yang tak upaya aku ungkapkan dengan lisan kerana jauh di sudut hati yang terpaling dalam, ada keronyok yang maha banyak dan tak termampu aku zahirkan setiap satunya.
Terimalah kasih yang terpaling tinggi untuk cinta dan kasih yang pernah sama-sama kita kongsikan dalam tempoh yang teramat singkat ini.
Sejujurnya aku belum puas.
Aku masih mahu berlari dan membawa segala nama ke awanan tinggi.
Mengukirnya di langit luas dengan berhati-hati.
Kembali ke daerah kita dengan sejuta bintang di tangan kanan dan kiri.
Aku terlalu mahu mencorak bahagia dan pakaikan di sekalian muka kerana meletakkan sekalian yang aku cinta di paling utama adalah resmi seorang pemberi.
Aku masih selalu mahu untuk meletak bunga di sekalian hati.
Menumbuhkan suka dan membahagia setiap orang, tak terkecuali.
Tapi Tuhan rupa-rupanya menyediakan hari pengakhiran setiap segala di tarikh ini.
Tiga puluh sembilan purnama mengekar diri menjadi yang paling badut, sekali tak pernah aku kesali.
Menjadi paling menceria kerana apalah erti senyuman dan ketawa aku yang maha banyak ini jika tidak aku kongsikan dengan sekalian yang aku sayang, jua sekali tak pernah aku kesali.
Menjadi pemikul beban di pundak rapuh, dengan seribu satu cabaran dan dugaan yang selalu banyak menggelincirkan, pun sekali tak pernah aku kesali.
Malah setiapnya, menghidupkan aku untuk terus bangkit melawan, dan menjadi pejuang yang tak takut kalah kerana aku yakin, aku gagah.
Tapi Tuhan rupa-rupanya menyediakan hari pengakhiran setiap segala di tarikh ini.
Alhamdulillah, Ya Rahman.
:')
Aku tak mampu menulis setiap satu nama, kerana yang ada dalam kepala ratusan jumlahnya.
Namun aku cuba.
Meninggalkan sesuatu di sini.
Untuk jiwa-jiwa yang akan aku rindukan, pasti !
Buat Ibunda Pengetua--
Puan Rohaida Bt Abu Khairi.
Sepersalinan merah mak ngah Puan di hari satu Puan melapor diri di sekolah kita takkan pernah mampu saya lupakan.
Betapa anggun dan cantiknya pengetua baru sekolah kita, dalam lima minit sudah bertebaran di setiap telinga kawan-kawan selepas saya keluar dari pejabat.
Semogalah Tuhan Yang Maha Baik akan selalu mengurniakan kesihatan berpanjangan dan kebahagiaan berkekalan buat Puan.
Terima kasih untuk pernah di suatu hari terduka, menyelamatkan saya dari terus banjir dengan keputusan asa.
:')
Buat Ibunda kedua di sekolah--
Puan Rozita Bt Abd Wahid.
Meletakkan kami 7 orang cikgu baru di bilik mesyuarat pada minggu pertama dan kedua melapor diri di sebuah tempat asing ibaratnya sebuah teduhan yang amat menyenangkan, yang tak mungkin mampu saya lupakan Puan.
Semogalah jua Tuhan Yang Maha Baik akan selalu memudahkan urusan Puan dalam setiap perkara yang dilakukan dan berbahagia bersama keluarga dan kawan-kawan.
Terima kasih untuk selalu bersabar dengan kerenah dan celoteh saya yang kadang-kadang tak umpama seorang cikgu.
:')
Buat Mama Teo--
Satu-satunya yang saya gelarkan dengan gelaran mama.
Sentiasa memandang saya dengan sepasang mata redup yang penuh pengertian ibaratnya pelabuhan teraman pada setiap kali saya merasa tak mampu lagi terus berlari dari tugasan hakiki yang galak mengejar.
Pada ratusan kata-kata semangat dan nasihat, tidak ada walau satu yang termampu saya lupakan kerana pada hakikatnya setiap itu saya simpankan kemas di sudut ingatan.
Terima kasih untuk selalu mempercayai saya dan melihat kemampuan saya yang tak diperasankan orang lain selalunya.
Tuhan kasihilah Puan Teo di sepanjang usia, semoganya.
:')
Buat barisan pentadbir yang lainnya, terima kasih untuk segala kenangan dan ilmu yang pernah dikongsikan.
Sesungguhnya, tiga tahun bermukim di daerah naga amat mematangkan saya untuk melebarkan sayap di perkampungan baru, nanti.
Mudah-mudahan hendaknya.
Buat seisi warga gunung yang akan dirindukan selalu.
Semogalah kejayaan akan terus menjadi milik kalian.
Kenangilah saya sebagai kenangan yang manis.
Dan ampunkanlah tiap kesilapan yang pernah disengaja atau tidak sebelumnya.
Dan semoga ada suatu masa nanti, yang ditulis Tuhan.
Akan pertemuan kita sekalian.
:)
__
Untuk Makti, Kak Syima, Kak Tijah, Kak Liza, Kak Faizza, Kak Faiezah, Kak Jee, Kak Lin, Kak Dayah Tukijan, Kak Dayah Hamid, Kak Yati, Ipah, Sari, Atin, Faizah, Kak Su & Kak Ayu yang amat-amat aku sayangi.
Puisi ini untuk kalian--
perpisahan,
adalah apa yang kau bilang penuh perjuangan
perpisahan,
adalah apa yang kubilang penuh dengan tangisan
bisakah kita membuat perpisahan yang mengharukan, sayang?
bukan sekadar air mata,
atau peluk yang memenuhi waktu-waktu terakhir kita
aku ingin kita bahagia,
aku ingin melihatmu tersenyum penuh rela,
aku ingin melihat hangat matamu,
seraya berkata :
‘kita akan baik-baik saja nantinya’
karena aku ingin percaya,
perpisahan adalah mengikhlaskan,
bukan sekedar melepaskan
perpisahan adalah merelakan,
bukan malah mengabaikan,
perpisahan adalah kebaikan yang direncanakan Tuhan,
untuk bahagianya masa depan
tetaplah cemerlang, sayang
agar kutahu, kau tak pernah berhenti berjuang.
Belum ada satu hari selepas berusaha mengamankan hati yang ini adalah ketentuan Ilahi terbaik untuk aku, mampu aku untuk menelan hakikat untuk sebuah kehilangan yang banyak ini.
Belum boleh untuk aku memejam mata tanpa hadirnya memori indah kita bersama di selama ini.
Dan setiap itu, seolahnya merebahkan asa yang aku kutip tiap percanya, dicantum dan bertampal, namun tetap di hujungnya masih penuh dengan koyak rabak tak tersusunkan.
Kalau ada perkataan lagi tinggi dari terima kasih, untuk setiap segala yang dikasikan kepada aku, akan aku guna dan junjung aksaranya di sepanjang hayat rasanya.
Maka, terimalah kasih paling tinggi ini untuk sejuta kenangan yang takkan terpadamkan.
Terimalah kasih paling tinggi untuk pelukan damai, dan perasaan hangat pada setiap mata kita bertemu untuk berkongsi cerita dan rasa.
Terimalah kasih paling tinggi untuk rezeki-rezeki yang disuapkan ke dalam tubuh menjadi darah daging.
Dan ketahuilah dengan sejelasnya.
Benar.
Fisikku mungkin tidak akan selalu ada di samping kalian.
Pada saat tersulit atau terbahagia.
Pada masa tangan aku juga takkan termampu sampai untuk memegang kalian di saat terbaliknya dunia.
Malah ketika dunia kita mula menunjukkan ketidakmahuan untuk terus bercanda mesra.
Tolong ingatilah bahawa bukan aku tidak mencintai kalian dengan bersungguh-sungguh
Bahkan aku akan selalu mencintai kalian dengan seluruh sisi manusia.
Dalam doa-doa di sujudan duga.
Sekalipun di hari-hari terduka.
Kerana pada hakikatnya.
Berpisah raga dengan kalian membuatkan hal di sekitarku tidak sederhana.
Gerimis menjadi begitu menyebalkan.
Kerana aku menjadi sosok yang paling mudah menangis pada akhirnya.
Untuk Pikah.
Perempuan rabun berjeragat cantik satu-satunya yang akan selalu aku rindukan.
Air mata dan tangisan terakhir kita masih segar dalam ingatan aku.
Setiap sedu sedan yang bersilih ganti antara kita berdua serasanya baru berlalu di detik yang barusan.
Sehingga aku fikir, untuk menulis dengan panjang lebar soal kita memakan sehingga ke akhir usia untuk diperincikan setiapnya, barangkali.
Tapi puisi ini.
Teruntuk hanya kau, perempuanku.
Bila kutanyakan padamu seperti apa perpisahan yang baik, apakah kau mampu menjawabnya?
Ingin kulepaskan kau dengan tersenyum.
Tanpa sesak yang kurasakan di dadaku.
Tanpa nyeri dalam hatiku.
Tanpa air mata di kedua mataku
Tanpa berat tanganku melepaskan genggaman tanganmu.
Nyatanya, semua itu hanyalah omong kosong.
Tak ada perpisahan yang baik.
Meski kita sama-sama berusaha menaruh senyum pada pelukan terakhir.
Meski kita sama-sama berikrar bahwa yang berubah hanyalah jarak, bukan pertemanan.
Ketahuilah, bahawa selepas kulihat ragamu menjauh, aku memaksakan diriku untuk tetap berada di tempatnya.
Meski begitu ingin kurangkul kembali dengan berlari akan tubuhmu dan menahanmu untuk tetap bersamaku.
Aku akan selalu mencintaimu, perempuanku.
Meski pelukan terakhir kita telanjur melebur dan menyatu bersama angin di petang tersayu itu.
Semogalah Tuhan merahmati kau, perempuanku.
Semogalah pada setiap mata yang menyudi tulisan ini, menengok jaga perempuan terapuhku di daerah naga kita.
Semogalah pada tiap keluh kesah dan esak tangis perempuanku ini, di masa mendatang berteritip dengan telinga mata kawan-kawan yang tak akan meninggalkan.
Semogalah Tuhan mengangkat semua kesedihan dan kepayahan hidupmu, perempuanku.
Untuk Fatimah.
Manusia patah yang hidup dengan sejuta kesusahan yang tak dinampak orang.
Biarpun kita berdua berpegangan tangan meninggalkan setiap yang kita cinta di sini bersama-sama.
Hakikatnya tetap dan pasti.
Kita juga saling berpergian.
Dan kutinggalkan sebuah tulisan.
Untuk kau tatapkan.
Kau kuandaikan sebagai sebuah buku.
Yang telah kusampul dengan rapi dan teliti agar tak ada yang merosakmu.
Tak akan kubiarkan seorangpun meminjammu, tanpa kutahu ia jenis pembaca seperti apa.
Bila ternyata kau adalah sebuah buku,
Kau pasti adalah kesedihan dan kesenangan dalam satu jilid.
Dan barangkali cinta ada di pertengahannya.
Kaubuat hatiku berbunga-bunga, lalu tak jarang kaubuat aku menangis setelahnya.
Bila kau sememangnya adalah sebuah buku,
Kurelakan waktuku berulang-ulang membacamu.
Lagi dan lagi, sampai aku mampu hafal seisimu.
Aku ingin selalu menjadi yang satu-satunya tahu seluruhmu.
Namun di tika dan detik ini.
Kau sudah menjadi lebih dari sebuah buku.
Kau mengingatkanku soal rumah.
Tempat di mana hal yang sederhana dan penuh makna.
Menjadi hal yang hangat dan penuh cinta.
Seperti api unggun di musim dingin.
Kecil namun menghangatkan.
Kau mengingatkanku akan harapan.
Seperti menatap hamparan laut dari sisi pantai.
Seperti menatap biru langit dari tempatku berpijak.
Tampak jauh.
Namun tetap menenangkan.
Karenanya, meski sudah puluhan tempat kudatangi, tetap padamu aku akan selalu kembali.
Berbahagialah sayang.
Depangkan sayapmu selebarnya dan terbanglah sejauhnya.
Sangkar yang memenjara seluruh takdir hidupmu perlu kau hancurkan secepatnya.
Pelangi sedang tersenyum menanti kau pulang ke dakapan.
Lekaslah senang, adindaku.
Kerana kepayahan yang kau tanggakan dengan begitu rapuh cuma hanya memati diri.
Doa adalah cuma benda yang takkan habis untukmu Fatimahku.
Dengan janji yang aku tak akan pernah berhenti mencintaimu walaupun pada hari tidak kau cintai diri sendiri.
Aku akan selalu ada menemani.
Duduk bersunyi di sisi tanpa sedenting bunyi.
__
Untuk sekalian anak naga tak terkecuali seorang.
Meninggalkan kalian adalah sebuah kesusahan.
Tapi aku percaya.
Ada atau tiada aku di sisi kalian, hidup tetap perlu diteruskan.
Terima kasih untuk kenangan kita yang sangat banyak.
Yang sememangnya akrab, atau sekadar mengenali aku dengan hanya nama.
Terima kasih atas segala-galanya.
Untuk saki baki yang aku tinggalkan di tingkatan lima tahun depan--
Kau kena selalu ingat pesan cikgu.
Berusahalah dengan sehabisnya untuk sebuah masa depan yang gemilang.
Jangan kau kasari cikgu-cikgu yang mengajar.
Jangan kau biadap walau sekali.
Jangan kau lawan cakap-cakap semuanya.
Tundukkan hatimu.
Merendah dirilah sekalipun benar, kau bijaksana sememangnya.
Dahulukan mak dan ayah di nombor satu.
Untuk setiap apa yang kau lakukan, letakkan mereka di tingkat paling utama.
Jangan kau patahkan hati orang tuamu, anak-anakku.
Semogalah nama cikgu dan kenangan bersama cikgu akan selalu kau kenangkan, sayang.
Untuk anak-anak yang bakal meninggalkan baju sekolah putih selama-lamanya.
Selamat terus terbang tinggi anak-anak.
Terbanglah ke awanan ilmu di puncak.
Kejarlah segala apa yang boleh memberi manfaat.
Tapi beringat.
Jangan didabik dada didepang.
Di sesekali.
Intailah doa-doa tulus yang menopang sayapmu di lantai bumi.
Berselalulah mengingati cikgu dalam doa-doa tulus kalian.
Sesungguhnya tiga tahun membenar diri menjadi saksi jatuh bangun kalian di sekolah adalah antara perkara terhebat yang pernah berlaku dalam hidup cikgu.
:')
__
Dan teruntuk yang paling istimewa dan satu-satunya.
Manusia terhebatku, Murni semurni namamu--
Sekalipun Mak takkan pernah mampu membaca setiap coretan ini.
Ketahuilah Mak.
Segala kesedihan yang adik tadahkan untuk kehilangan yang banyak ini.
Setiapnya untuk menopang sedih Mak yang jauh lebih banyak disimpan di sudut hati.
Mak.
Benarlah jalan Tuhan adalah perkara yang tak termampu kita jangkakan.
Alhamdulillah ala kulli haal Ya Rahman.
:')
Mak.
Adik amat bersyukur kerana menjadi yang terpilih untuk menemani Mak di waktu-waktu senja Mak.
Adik berjanji untuk selalu memuliakan Mak dan memberikan apa sahaja yang dapat menggembirakan Mak.
Adik berjanji untuk menjaga Mak dengan penuh kasih sayang seperti mana Mak yang tak pernah berputus asa mencintai adik yang penuh kegagalan dalam hidup.
Mak.
Adik akan berusaha menyenangkan Mak dengan segala kudrat yang ada dalam hidup adik Mak.
Adik akan berusaha memberikan segalanya yang termampu Mak.
Adik akan berusaha membahagiakan Mak dengan apa cara sekalipun.
Adik akan berusaha menjadi orang yang paling tak akan berputus asa mengelap air mata Mak.
Adik akan berusaha mendengar segala apa yang Mak keluhkan tanpa jemu.
Adik akan berusaha mencintai Mak dengan cinta yang maha tinggi.
Adik akan berusaha merawati sakit Mak dengan segala bentuk kos.
Mak.
Setiap yang adik tinggalkan membenarkan adik balik ke dakapan Mak.
Setiap mereka menitip pesan yang maha banyak untuk adik berbakti kepada Mak.
Setiap orang memesan semogalah Mak akan sembuh dengan secepatnya.
Mak.
Adik akan menyimpan setiap kesedihan adik sedalam-dalamnya supaya pada setiap hari nanti, Mak bangkit cuma dengan melihat senyuman adik yang panjang dan manis hanya untuk Mak.
Adik akan terus berjuang dalam kesenyapan yang paling senyap supaya pada setiap hari nanti, Mak bangun cuma dengan mendengar tawa adik yang bising dan suka hanya untuk Mak.
Mak.
Mungkin inilah jalan Tuhan paling tidak diketahui adik yang bersoal siang malam pagi dan petang tentang penantian adik yang terlalu mahu meng-ibu Mak.
Dan belum mahu diizin Tuhan sebagai rezeki terindah adik.
Rupa-rupanya ini yang Tuhan tuliskan untuk adik.
Sebuah rezeki tak terjangkau dek akal fikiran.
Menjaga Mak dan Abah, semoganyalah terus diizin sehingga tertamatnya usia dunia.
Hingga bersatu kembali kita di alam sana.
Mak.
Tak mengapalah untuk belum ada, apa yang memang tiada.
Asalkan Mak masih ada.
Untuk terus mendoakan adik.
Kerana doa mak dan abahlah cahaya dalam kegelapan hidup adik Mak.
Mak.
Sikit masa lagi.
Rumah akan bercahaya kembali.
Adik janji akan pulang dengan cinta yang takkan pernah habis untuk Mak dan Abah.
Adik amat mencintai Mak.
Dunia dan akhirat.
Alhamdulillah ala kulli haal Ya Rahman.
:')
__
Tuhan.
Semogalah.
Dilimpahi dengan sejuta kasih sayang buat semua yang aku tinggalkan dengan penuh kesedihan.
Dan didatangkan sejuta kebahagiaan buat bunda ayahandaku yang akan aku lindungi penuh kerinduan.
Semogalah pada usia dua puluh sembilan tahun aku di tahun mendatang.
Adalah sebuah permulaan terindah, dalam runtuh seorang aku.
Mak.
Masih terngiang dalam telinga fikiranku.
Soal konversasi dua kita yang hakikatnya meruntun jiwa dan perasaanku minggu lalu.
Tapi tetap.
Tabah dan gagah perlu menjadi wajah yang menghadap tangismu.
Saat kau mengesat air mata dan bercakap sayu--
'Aku ingin menjadi kuat macam kau, dik'
Dan bersambil aku menguruti betis lemahmu, dengan sebesar-besar kekuatan aku balas tanpa tangis.
'Adik kuat sebab adik ada Mak yang sangat hebat'
__
Mak.
Datanglah apa jua kesedihan meraja dalam hidup adik.
Tak apa.
Asalkan tidak setiap sedih itu singgah di pinggir hatimu Mak.
__
Dan pamit aku yang ini kali.
Teruntuklah sematanya buat Ibundaku !
Alhamdulillah, Ya Rahman.
:')

